Sharing is caring!

Reading time 2 minutes


“Kenapa aku tuhan? Kenapa aku seorang sahaja yang gagal peperiksaan kali ini? Bukankah aku dah buat yang terbaik, mengapa engkau begitu kejam terhadapku?” Fikiran Abyad bercelaru sebaik sahaja dia menyemak keputusan peperiksaan akhir semester 4 di paparan telefon pintar miliknya.

Dia teringat kembali usahanya, petang malam menelaah kitab, menjawab soalan-soalan tahun sebelum, menghafal mekanisma sesuatu proses sampai tak tidur malam tetapi keputusan yang diperoleh langsung tidak seperti yang di harapkan. Abyad rasa ditipu. Di tipu oleh tuhan yang berkuasa.
“Bukankah tuhan telah berjanji bahawa siapa yang berusaha pasti akan dapat ganjaran setimpal?” Benak fikiran Abyad semakin kuat menginginkan jawapan. 
Abyad bangun dari baringnya, telefon pintar diletakkan di atas bantal putih kesayangannya lantas menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Dia teringat pesan neneknya dahulu.

“Yad, manusia takkan dapat lari dari masalah, setiap manusia di uji dengan ujian yang berbeza, jadi apabila yad rasa susah hati dirikanlah solat.” 
Abyad tinggal dengan atuk dan nenek di kampung setelah ibu dan ayahnya bercerai sewaktu berumur 1 tahun. Dia tidak sempat mengenali dan merasai kasih sayang daripada mereka. Ibunya berkerja sebagai orang gaji kepada sebuah keluarga Dato’ manakala ayahnya pula seorang posmen. Akibat kekangan hidup mereka membuat keputusan untuk bercerai dan ayahnya terus menghilangkan diri hingga ke hari ini. Ibunya pula sempat menghantar Abyad ke atas tangga rumah nenek sebelum turut menghilangkan diri.
“Eh bagusnyo mung solat sunat, mesti dapat keputusan hok cemerlang ni.” Tegur Arif, si roommate dari hulu Terengganu yang sangat pekat loghatnya sebaik Abyad selesai mengaminkan doa.
“Oh Arif, tak perasan kau dah balik, dari mana ni?” Abyad cuba untuk mengubah topik perbualan. 
“Aku dari kedai makang tadi, celebrate keputusan perikso dengan study group, alhamdulillah geng ni dapat keputusan yang bereh beng rapak jeep, aku dengor si Saiful dapat 4 rata kali ini, tengok macam dok study, rupanya diang-diang ubi berisi, sama la macam mung kan?” Arif tidak berputus asa untuk mengorek keputusan Abyad.